Thursday, July 29, 2010

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HMFD)

Penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit yang mudah berjangkit melalui sentuhan terus daripada kes. Ia boleh menjangkiti semua golongan umur tetapi majoritinya adalah pada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Tempoh inkubasi jangkitan adalah antara 3 hingga 5 hari dengan disusuli tanda-tanda utama seperti demam, sakit tekak, ruam merah dengan blister pada tapak tangan, kaki dan mulut. Kanak-kanak yang dijangkiti juga boleh mengalami tanda-tanda muntah, cirit birit serta kurang selera makan. Kanak-kanak yang sedang dijangkiti HFMD boleh menjadi punca jangkitan sehinggalah ruamnya kering.

Berikut adalah amalan yang baik yang boleh mengelakkan jangkitan dan penularan HFMD. Para Ibubapa dan pengurus pusat jagaan kanak-kanak adalah diminta untuk mengambil perhatian dan kerjasama atas perkara ini:-

a) Sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Sentiasa amal tabiat baik mencuci tangan dengan sabun sebelum makan terutamanya selepas dari ke tandas.

b) Kanak-kanak yang ada tanda-tanda jangkitan HFMD hendaklah dibawa segera berjumpa dengan doktor di klinik atau hospital yang berdekatan.

c) Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD hendaklah dielakkan daripada dibawa ke tempat awam atau pusat jagaan kanak-kanak sehinggalah ia sembuh.

d) Para pengusaha pusat jagaan kanak-kanak adalah diminta untuk memastikan kanak-kanak yang ada tanda-tanda jangkitan HFMD di bawa segera untuk rawatan ke klinik atau hospital berdekatan serta melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

e) Kanak-kanak yang sedang dijangkiti HFMD hendaklah dielakkan daripada menghadiri pusat jagaan kanak-kanak sehinggalah kanak-kanak tersebut sembuh.

Keadaan di seluruh negara untuk jangkitan HFMD adalah terkawal dan kita yakin dengan kerjasama para ibu bapa dan juga pengusaha pusat jagaan kanak-kanak di seluruh melalui pengamalan langkah-langkah yang disarankan pada perkara 4 di atas, penularan HFMD boleh dielakkan.

No comments: